Tuesday 15 January 2019

Loghat Kedah


PERBEZAAN LOGHAT KEDAH MENGIKUT KAWASAN
Oleh : https://instagram.com/khairiasyraf_17

Ada member tunjuk satu video orang Kedah sedang bercakap. Kemudian dia tanya, “Kenapa kau cakap tak macamni pun?”

Haaa... Sebenarnya kalau nak tau, kat Kedah bukan ada satu loghat sahaja. Jadi kepada admin-admin page diluar sana, sebelum anda tulis caption kepada sesuatu video yang kononnya menyatakan orang itu bercakap loghat kedah yang pure, elok perhatikan dulu ketepatannya.

Begitu juga kepada pengarah drama atau filem yang nak buat watak orang Kedah. Elok study dulu sikit agar tak nampak fake ketika berlakon. Takda lah orang kecam macam drama Mak Cun dulu. Hampa jangan dok buat tak tahwan sangat. Haha. Dak pun, panggil cek jadi pelakon pun takpa aih.

Umumnya, ada sekurang-kurangnya 3 jenis cara orang Kedah bercakap iaitu :-
    1) Kedah Timur (Hulu)
    2) Kedah Selatan (Hilir)
    3) Kedah Utara (Hilir)


Video yang page-page Facebook selalu tunjuk tu adalah loghat Kedah Timur atau Hulu. Ianya merangkumi kawasan Padang Terap-Kuala Nerang, Sik, Baling, sebahagian kecil Pokok Sena dan sebahagian kecil Kubang Pasu. Loghat sebelah sini mirip dengan orang Kelantan.

Sebenarnya, yang lebih tepat, loghat mereka adalah loghat Reman. Reman dahulunya sebuah kerajaan Kesultanan Melayu di wilayah Fathani, selatan Thailand. Kerana itulah, loghat orang Baling-Sik-Padang Terap seakan-akan orang Fathani dan Kelantan. Bahkan, orang Hulu Perak seperti Gerik juga bercakap dengan loghat Reman. Perkampungan orang Siam juga banyak di sekitar kawasan ini. Sebab tu ada jugak loghat yang ala-ala Siam di sekitar kawasan ni.

    Kelantan - Demo
    Perak - Deme
    Kedah - Dema





Sebenarnya, Kedah Selatan dan Kedah Utara yang berada di hilir ni memiliki loghat yang sama sahaja. Cumanya dibezakan kerana lenggok sebutan atau nada intonasi yang agak berbeza. Kedah Selatan yang berdekatan dengan Pulau Pinang ini merangkumi Sungai Petani, Kulim-Bandar Baharu, Padang Serai, Merbok dan sebahagian Jerai.

Nada intonasi Kedah Selatan kedengaran agak kasar dan “meriah” cara percakapannya. Bak kata orang Kedah, watak mereka ini “kasaq, kahaq, ketegaq”. Tapi jangan mudah ambik hati, orang Kedah ni baik-baik semua aih... Jadi, kalau anda bersembang dengan orang Kedah dan cara dia cakap agak keras, “Wey! Hang dok buat loqlaq noh! Teghajang satgi mampoih kot! Hahaha”, cuba tanya dia, “Hang oghang Sungai Petani ka?”

Kedah Utara yang berdekatan dengan Perlis ini merangkumi Alor Setar, Kubang Pasu-Jitra, Jerlun, Ayer Hitam, Kuala Kedah, Pendang dan sebahagian besar Pokok Sena. Kodiang yang selalu orang sebut tu dok di Kubang Pasu.

Orang Kedah utara ni cakap lembut sikit. Sopan-santun dan ada irama. “Weyh...~ awat hampa buat laguni kat kami. Kami dak kata kat hampa pun, hampa dok kata kat kami paseypa taktau. Gamak hampa kata kat kami noh”. Orang Kedah memang suka cakap “taktau”, “noh” dan “apa nama”.

Di Utara mendekati Perlis, lenggoknya lebih lembut. Manakala di Selatan mendekati Pulau Pinang, nadanya lebih tegas. Cuba hampa peghati tengok. Ini apa yang penulis temui secara peribadi lah. Mungkin pengalaman orang lain macam lain. Kerana nada percakapan ni boleh dipengaruhi dengan faktor gender penutur, usia atau pengaruh demografi sekeliling. Kalau nak pasangan hidup yang tegas-garang (cengey) tapi macho, carilah belah-belah Sungai Petani. Tapi kalau hampa nak hat jenih lembut-sopan (romantik), mai cari belah Loqstaq. Hahaha

Bagi Kedah Hilir, perkataan “aku atau saya” digantikan dengan “cek atau kami”. Penggunaan “cek” selalunya dengan keluarga manakala “kami” dengan kawan dan banyak jugak yang gunakan “aku” dengan kawan. Perkataan “mereka” digantikan dengan “depa”. Perkataan “kamu” digantikan dengan “hang” (agak kasar) atau “hampa” (lembut sikit).

Kedah pure ni Kedah Hilir. Kedah Hulu kadang-kadang orang Kedah hilir sendiri kurang faham sebenarnya kalau pekat sangat. Antara Alor Setar (Utara) dan Sungai Petani (Selatan), Alor Setar lebih tenang dan Sungai Petani agak havoc. Pusat pemerintahan Kedah iaitu ibu negeri adalah Alor Setar manakala Bandar DiRaja adalah Anak Bukit yang kedua-duanya di sebelah Utara.

Langkawi pulak banyak orang luar(pelancong). Haha. Sebab pusat peranginan bebas cukai. Tapi boleh lah nak klasifikasikan orang Kedah di Langkawi sebagai Utara sebab kedudukannya terletak di utara.

Untuk tajwid, makhraj dan nahu Kedah, Awalan F- akan jadi P seperti Paham (faham), Pidyah (Fidyah). Tak semua benda orang Kedah tukar huruf R jadi Q. Kadang hujung R jadi T seperti Anggut (Anggur), Pasembot (Pasembor), Tat (Tar). Mahathir tak jadi Mahadiaq, kami panggil Mahadet (Che Det). Kadang tu kami unpronounce/hazaf huruf R macam Taya untuk Tayar. Kami tak panggil “selipaq” untuk selipar. Kami panggil kasut. Kami tak panggil “lansiaq” untuk langsir. Kami panggil teqai (tirai). Lansiaq tu hantu lansuir. Kami tak panggil “pasaq” untuk pasar. Kami panggil “merket”. Kami tak panggil biskut, kami panggil “ghoti”. Kami tak panggil “Selpiaq”, kami panggil Selfie la jugak... Amboi aih hampa, dok buat teqok sangat aih.

Satu lagi, kami orang Kedah tak cakap goyang-goyang kepala nah. Kami pun tak cakap dengan nada orang tengah kalut cempegha (kelam-kabut). Kena beza cara cakap kalut (macam drama tv dok buat), cara cakap berlenggok (utara) dan cara cakap kasar (selatan). Orang Kedah kalau perkataan hujung ada “NG”, sebahagiannya kami buang “G” tu bagi kat orang Terengganu. Kucing jadi Kucin, Kuning jadi Kunin, Kambing jadi Kambin. Akhiran -L jadi -i seperti Pedai (Pedal), Batai (Batal). Akhiran -S jadi -ih seperti Panaih (Panas), Ganaih (Ganas).

Orang Kedah paling pantang kalau balik Kedah dok cakap KL. Seakan-akan satu dosa besar kalau tersasul cakap KL. Ini kerana bagi orang Kedah, standard loghat Kedah itu lebih tinggi berbanding KL. Melalui loghat Kedah, kami boleh agak orang tu sedang bercakap straight to the point, menyindir, marah, berjenaka atau sedang sembang muhong.

Semua ini hanyalah secara umum sahaja. Tak boleh nak rigid sangat perbezaan ini kerana terkadang, berlaku juga percampuran di sana sini. Kalau hendak diterangkan secara terperinci ianya sangat rumit dan memerlukan kajian yang mendalam. Terkadang antara bandar atau antara kampung dalam satu daerah pun boleh ada beza loghat dia.

Bahkan, banyak perkataan-perkataan orang tua sudah kurang diamalkan. Antaranya seperti “Seghiyat”, “Kedohoq”, “Menyeqok”, “Ghagaih” dan banyak lagi. Menyeqok tu Sarapan. Jadi nanti kalau balik rumah mak mentua hampa, dia suruh menyeqok dulu, jangan hampa pi sembunyi bawah meja pulak. Dak aih... mak mentua hampa suruh pi makan ja tu.

Kanak-kanak kecil pula terpengaruh dengan cara percakapan di TV. Budak-budak sekarang sudah kurang bahasa. Ada juga budak kecik tiba-tiba cakap “lu ingat lu langsi ka?!”. Acah-acah gangster macamtu sebab terpengaruh dengan filem KL Gangster.

Khairi Asyraf
-Datuk Kumbar, Alor Setar, Kedah.


Video Kedah Hilir : https://youtu.be/lDU1CByeSrM

No comments: